The-NRjourney

kerana pengalaman itu ada pengajaran, aku kongsikan disini ini.





Cara membuat pantun kaedah mudah
 
Jumaat, 16 Januari 2015 

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu didada moga bermanfaat untuk anda diluar sana. Bagi pemantun yang baru berjinak jinak saya akan menunjukkan kaedah mudah untuk anda membuat serangkap pantun.

Pantun ini sebenarnya sangat mudah, cuma memerlukan minda yang pantas dan rajin rajinlah untuk membuat pantun ringkas. Pada pertama kali percubaan memang tidak menjadi, namun seperti mana saya katakan, minda perlu selalu membuat pantun ringkas.
Pertama sekali, irama akhir setiap pantun tidak boleh sama. Saya berikan contoh,

Berehat sebentar dipohon angsana
Petik sekuntum bunga cina
Peluang berjaya dimana mana
Industri desa bagaimana dijana?

Irama akhirnya adalah na, ini menjadi kesalahan. Saya berikan contoh kaedah yang betul,

Si anak dara duduknya rapat
Petik sekuntum bunga cina
Peluang berjaya merata tempat
Industri desa bagaiman dijana?

Irama akhirnya adalah pat dan na. Ini adalah kaedah yang betul.

1. Kaedah pertama

Terapkan dalam kehidupan seharian. Misalnya anda ingin makan, cuba buat karang dua rangkap pantun yang ringkas.

Lapar perut rasa nak makan <-- Langkah pertama sila karang ayat rangkap bawah

Setelah dapat ayat rangkap bawah, cari pembayang untuk perkataan terakhir.

Lapar perut rasa nak makan  <--  Pembayang  perlu dicari perkataannya perlu diakhiri sebutan kan
Jauh belayar mencari lokan <-- Pembayang sudah dikenal pasti
Kemudian, gabungkan ayat rangkap bawah dan ayat pembayang.
Jauh belayar mencari lokan 
Lapar perut rasa nak makan
Pada permulaan gunalah pen dan kertas untuk membuat pantun ringkas ini, apabila sudah cekap sedikit, cuba mengarang hanya menggunakan minda.

2. Kaedah kedua

Setelah anda berjaya melepasi kaedah pertama, mara ke kaedah kedua. Kaedah ini digunakan untuk pemantun yang masih baru dan kurang kecekapannya.

Misalnya, anda ingin membuat pantun soalan. Suku kata yang sesuai irama dan nadanya bila dibaca adalah 9-11 suku kata. Jika lebih atau kurang, iramanya kurang enak didengar.

Anak muda pewaris negara <-- Langkah pertama, cuba mencari slogan atau kata-kata menarik untuk baris ketiga

Dimana watan mencurah bakti? <-- Langkah kedua, cuba mencari soalan untuk ditanya pada baris keempat

Setelah mendapat ayat untuk baris ke-3 dan ke-4, cuba cari pembayang untuk baris 1 dan ke-2. Pada peringkat permulaan ini, pembayang tidak perlu dicari yang susah, ambil sahaja yang mudah-mudah syaratnya perkataan tersebut sama sebutan akhirnya.

Anak muda pewaris negara <-- Pembayang  perlu dicari perkataannya perlu diakhiri sebutan ra
Tinggi sungguh pohon ara <-- Pembayang sudah dikenal pasti

Dimana watan mencurah bakti  <-- Pembayang  perlu dicari perkataannya perlu diakhiri sebutan ti
Hinggap seekor burung merpati <-- Pembayang sudah dikenal pasti

Kemudian, gabungkan ayat rangkap bawah dan ayat pembayang

Tinggi sungguh pohon ara
Hinggap seekor burung merpati
Anak muda pewaris Negara
Dimana watan mencurah bakti?

Pada permulaan peringkat ini, pembayang antara baris pertama dan kedua jikalau tidak berkaitan pun tidak mengapa. Disebabkan anda baru mula hendak belajar, jadi buat apa sahaja asalkan sebutan hujungnya sama. Latih untuk memendekkan ayat, buang semua imbuhan yang dirasakan tidak perlu jika apabila irama sewaktu membaca pantun terasa janggal.

3. Kaedah ketiga

Sekiranya anda telah berjaya dengan cekap melepasi kaedah kedua, anda sudah berada dekat dengan kaedah ketiga, cuma, hanya perlu membetulkan sikit kesalahan lagi. Ditahap kedua tadi, anda telah merangka pantun yang hanya irama akhirnya sama. Untuk mendapatkan pantun yang berkualiti dan bagus, irama tengah dan irama akhir perlu sama. Perkara ini tidak mudah, memerlukan kecekapan mencari pembayang. Jika anda sudah mahir, silakan untuk mengamalkannya. Secara jujur, saya kurang mahir untuk mengarangnya dalam masa yang pantas seperti mas ayang diperuntukkan dalam perlawanan hanya 60 saat. Jika saya memiliki masa lebih daripada itu, saya mampu mengarangnya. Setiap insan berbeza kemampuannya, siapa tahu, anda lebih cekap dari saya? Cubalah dahulu.

Bertaut hati kembali merindu <-- Langkah pertama, cuba mencari slogan atau kata-kata menarik untuk  baris ketiga
Gerangan disana apa khabarnya? <-- Langkah kedua, cuba mencari soalan untuk ditanya pada baris keempat

Setelah mendapat ayat untuk baris ke-3 dan ke-4, cuba cari pembayang untuk baris 1 dan ke-2. Pada peringkat ini, pemantun perlu lebih peka terhadap perkataan yang kedua dan yang terakhir dalam baris supaya dapat mencari pembayang yang sama irama akhirnya. Peringkat ini juga pemantun perlu mengaitkan pembayang diantara baris pertama dan baris kedua. Sudah nama pun pembayang, jadi ia perlu membayangkan ayat dibaris yang ketiga dang keempat.

Bertaut hati kembali merindu <-- Pembayang  perlu dicari perkataannya perlu diakhiri sebutan ti dan du
Hati hati mengambil madu <-- Pembayang sudah dikenal pasti

Gerangan disana apa khabarnya? <-- Pembayang  perlu dicari perkataannya perlu diakhiri sebutan na dan nya
Pohon angsana tempat rehatnya <-- Pembayang sudah dikenal pasti 

Kemudian, gabungkan ayat rangkap bawah dan ayat pembayang

Hati hati mengambil madu
Pohon angsana tempat rehatnya
Bertaut hati kembali merindu
Gerangan disana apa khabarnya?

Ini adalah pantun terbaik kerana pembayang ditengah dan akhir adalah sama dengan baris ke-3 dan ke-4. Sepatutnya, ini adalah pantun yang perlu dikarang, namun memerlukan kecekapan, kepantasan akal dan minda pemantun tersebut. 

Segalanya saya tunjukkan ini adalah kaedah yang saya sendiri gunakan. Saya terlibat dalam arena berpantun dengan akal yang kosong, pengalaman yang kosong. Jadi saya terpanggil untuk berkongsi, cara mudah bagi pemantun pemantun baru diluar sana memulakan pantun mereka. Setiap orang mempunyai cara yang berbeza, namun ini adalah cara saya. Pohon seribu kemaafan, andai cara ini tidak berkesan pada anda dan jika ada kesalahan dimana mana.

Untuk pertanyaan lanjut jika ada yang tidak mengerti dimana mana bahagian, boleh bertanya pada saya di Facebook, Naina Rahman. Saya akan cuba membantu.


Own by:the-nrjourney. All right reserved 2015.